music

Thursday, June 27, 2013

Mata Kasar.. Mata Nafsu.. Mata Iman..

Bayangkan tatkala kita sedang merenung wajah seorang tua yang sudah berkedut, kudrat yang sudah uzur memberikan perspektif yang berbeza pada mata yang melihat. Ianya boleh dilihat dengan mata kasar, mata nafsu atau mata iman.


MATA KASAR

Apabila kita sekadar melihat dengan mata kasar, tidak akan memberi makna apa-apa sekadar melihat sambil berlalu.


MATA NAFSU

Apabila kita sekadar melihat dengan mata nafsu, kita akan terfikir untuk tidak mahu menjadi tua seperti itu. Tidak mahu berkedut, tidak mahu sakit dan jikalau boleh mahu kekal muda buat selama-lamanya. Lalu pelbagai cara digunakan untuk menegangkan kulit muka seperti botox, cucuk vitamin c , pembedahan plastik dan sebagainya.

Pelbagai ubat-ubatan digunakan kononnya untuk mengekalkan keremajaan kulit. Segala produk kecantikan dan ubat-ubatan untuk melambatkan penuaan akan dicuba dan dimakan. Bagi mereka yang pernah melihat cerita-cerita kuno dinasti cina, pasti teringat tentang kisah dimana seorang raja yang mempunyai ubat yang boleh menjadikannya hidup selama-lamanya dan menjadi rebutan semua orang.


MATA IMAN

Apabila kita melihat mereka dengan mata iman, kita akan melihat wajah-wajah tua dan kusam, penuh dengan kedut di muka dengan kudrat yang sudah uzur akan memberikan keinsafan di hati insan yang melihat dengan mata iman.

Melihat wajah-wajah tua akan menyebabkan kita menangis. Menangis bukan kerana takutnya menjadi tua. Menangis kerana sedar dan insaf bahawa apa yang ada di dunia ini semuanya tiada yang kekal abadi. Semuanya adalah sementara. Kecantikan akan hilang, kekuatan akan hilang, kekayaan akan ditinggalkan, kuasa dan pangkat akan ditinggalkan, muda akan tua. Lalu apakah yang lebih utama di dalam kehidupan sementara di muka bumi ini?

Mata iman akan menjawab ialah mencari keredhaan Allah dan menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Kerana apa? Kerana apa yang dijanjikan Allah iaitu hari akhirat yang kekal abadi adalah pasti. Syurga dan neraka adalah pasti. Jika tiada cukup bekalan yang baik yang dibawa dari hidup yang sementara ini, balasan neraka adalah pasti dan kekal abadi... nauzubillah... apakah gunanya melebih-lebihkan kehidupan dunia yang sementara daripada kehidupan akhirat yang abadi?

Bukanlah bermakna melebihkan akhirat dengan meninggalkan seluruh urusan di dunia dan hanya duduk di tikar sejadah semata-mata. Lalu, bagaimanakah cara kita boleh mencapai kejayaan di alam yang kekal abadi itu?


Apa yang patut kita buat semasa kehidupan yang sementara di dunia ini?

Jawapannya semua ada di dalam al-Quran, iaitu:

Jika dia seorang anak, dia akan menjadi anak yang terbaik, yang sentiasa membahagiakan hati kedua ibu bapanya. Tidak lupa sentiasa berdoa untuk ibubapa samada ibubapa masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Jika dia seorang ibu/ayah, dia akan cuba menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anaknya dengan mendidik mereka tentang ilmu, mendidik anak menjadi anak soleh dan solehah. Melaksanakan tanggungjawab sebagai ibubapa tanpa rasa keluh kesah. Memasak, menjaga rumahtangga dengan hati yang ikhlas dan tenang.

Jika dia seorang suami, dia tidak akan berlaku zalim kepada isterinya dan mendidik isterinya dengan baik dan penuh kasih sayang. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan cara yang terbaik.

Jika dia seorang isteri, dia akan menjadi seorang isteri yang terbaik untuk suami yang tercinta, taat dan menghormati suami. Melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan cara yang terbaik.

Jika dia seorang pekerja, dia akan berusaha untuk melakukan yang terbaik di dalam usaha kerjanya tanpa seberang kebencian dan rasa tidak puas hati kepada orang atasan.

Jika dia seorang kawan, dia akan selalu bercakap bersopan dengan kawan-kawannya tanpa cuba menyakiti hati kawan, tidak akan menabur fitnah dan mengumpat kawannya tanpa jemu. Dia akan menegur rakannya jika rakannya menyimpang dari jalan yang benar. Hasratnya adalah supaya dia dan rakannya akan bersama-sama terselamat daripada seksaan neraka di alam yang kekal abadi.

Dan yang paling UTAMA, dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa bersyukur, mengharapkan rahmat dan kasih sayang daripada Allah Yang Maha Esa dengan melakukan ibadah yang diperintahkan oleh Allah dengan rasa khusyuk, ikhlas kerana apa yang paling penting dalam hidup insan ini adalah mendapat kasih sayang, rahmat dan redha daripada Allah. 

Sesungguhnya tanpa rahmat dan kasih sayang daripada Tuhan Yang Maha Esa sesungguhnya jadilah kita tergolong dalam hamba-hamba yang rugi. Setiap perlakuannya sentiasa merasa diperhatikan oleh Allah dan dengan itu merasa takut untuk melakukan dosa. Mementingkan Allah daripada segala-galanya. Tidak culas untuk bersolat di awal waktu, bersolat sunat, berqiamulail dan sebagainya.

Namun, memang sifatnya manusia kekadang terlupa dan terdengar pujukan dan rayuan nafsu dan syaitan. Jika sudah tersedar dari kesilapan, maka beristighfarlah kepada yang Maha Esa untuk mengampuni dosa-dosa kita. InsyaAllah, jika kita memohon ampun dengan hati yang tulus ikhlas, Allah yang pengasih dan penyayang akan mengampuni dosa-dosa kita.

Rasullah s.a.w. yang maksum pun beristighfar paling kurang 100 kali sehari; jadi kita sepatutnya lebih kerap lagi beristighfar.
Jika kita lalai dari beristighafar dan memohon ampun daripada Yang Maha Esa, hati kita yang berbuat dosa akan dipenuhi dengan titik-titik hitam.
Jika titik hitam sudah memenuhi hati kita, hati kita menjadi buta.

Hati yang buta teramat bahaya kerana sinar kebaikan dan sinar hidayah akan susah menembusi hati tersebut.
Akibatnya, jika orang mengajak kita membuat kebaikan, memberi nasihat, hati kita akan mencemuh dan membenci perkara kebaikan lagi.

Dunia ini sementara adalah pasti.
Hidup kita di dunia sudah pasti akan mati.
Akhirat itu pasti.
Syurga dan neraka itu pasti.
Lalu adakah kita mengambil langkah yang sepatutnya untuk perkara yang pasti itu?
Renung-renungkan.

Rahsia Doa Mustajab

Berdoa merupakan suatu usaha kita untuk meminta bantuan Allah SWT.  
Segala permintaan mestilah dipanjatkan kepada-Nya dalam keadaan penuh kesyukuran dan kerendahan diri, seperti firman Allah SWT dalam surah al-'araaf ayat ke-55 : "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan (suara) yang perlahan..."

Berikut amalan, cara-cara dan waktu-waktu yang mana insyaAllah, merupakan jalan yang baik untuk kita memohon pertolongan Allah SWT Segala apa yang ada di sini adalah hasil dari pembacaan dan juga pengajian penulis di dalam bidang hadis, dan diambil dari hadis-hadis yang sahih.


Waktu-waktu Mustajab Doa

01. Satu pertiga malam
Iaitu di antara jam 3.30 pagi atau jam 4 pagi sehingga ke sebelum Subuh. Ini kerana, di dalam hadis Imam Muslim, Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya:
Allah SWT turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara hamba-Ku yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". 
Maka sepertiga malam, atau solat tahajud merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa kepada Allah SWT.

02. Sewaktu hujan turun
Ketika ini, pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.

03. Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat
Sepertimana yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara individu, sebagaimana yang penulis lihat telah mula diamalkan di sesetengah masjid di kawasan Selangor. Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang berlainan di antara satu sama lain.

04. Sewaktu membacakan syahadah akhir setiap kali waktu solat
            Oleh itu nabi Muhammad s.a.w. telah mengajarkan kita doa yang khusus untuk dibacakan di sini, yang akan penulis garapkan di bawah.

05. Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.

06. Setiap sujud di dalam setiap waktu solat
            Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah SWT.
            Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk As-Syafi'e rahimahullah.

07. Waktu dhuha
Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh sehingga waktu:
            1) Menurut Nabi Muhammad s.a.w., bangunnya anak unta dari tidurnya atau
2) Kata orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.
Malahan di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. InsyaAllah...



Amalan-amalan Yang Memustajabkan Doa

01. Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.
02. Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.
03. ‘Menebus’ kembali amal baik yang telah kita lakukan.

Seperti yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajjud, iaitu,
"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." [Ali-Imran 3:192-194]

Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita. Hal ini juga telah penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua.

04. Menghulurkan pertolongan.
            Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu urusan kamu".

05. Sabar.
Sabar dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.



Doa-doa Yang Mustajab

01. Ingin penulis kongsikan di sini beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:

"Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad", yang bererti:
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun."

Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah s.a.w. lalu baginda bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah SWT dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." (Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad)


02. Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran :

"Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", bermakna:
"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku."


03. Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.

Sebagai contoh, ar-Raazik (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur (Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.

Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.


04.Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya:

"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"


Sungguh jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda dan hati yang terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan yang membawa kepada mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan semuanya, nescaya kita tidak akan mampu untuk beristiqamah dengannya. Kerana itu kita katakan bahawa ibadah baginda s.a.w. adalah ibadah yang paling sempurna.

Penulis mengharapkan agar kita semua dapat berbalik kepada keindahan sunnah nabi s.a.w., dan kembali mengikuti cara dan saranan baginda di dalam beribadah, agar doa kita tergolong di dalam doa-doa yang mustajab.

Siapa Kita Tanpa ALLAH..


Sebenarnya apa yang kita cari dalam hidup ini?

Ada yang menjawab hartawang ringgitkebahagiaan, keluarga yang bahagia, kawan yang ramai dan sebagainya.

Namun, walaupun semuanya ada digenggaman, ada kalanya kita merasa resah.

Walau acap kali kita merasa terlalu bahagia seperti dunia ini kita yang punya, rasa gelisah tetap juga mengusik jiwa... tidak tahu apa puncanya...

Kenapa ada waktu kita resah dan ada waktu pula kita merasa bahagia?

Cuba sahabat-sahabat meletakkan tangan ke dada dan rasa degupan jantung serta sebutlah Astaghfirullahal 'Adzim dengan rendah hati.... apa yang sahabat rasa?
Seakan wujud satu rasa keinsafan dan kesedihan bukan?
Sedih itu bukan bererti kita sedih meratapi tetapi sebenarnya ketenangan yang abadi hinggap di hati apabila kita mengingati Allah.

Cuba sahabat-sahabat tunduk, merasakan diri ini lemah di hadapan Allah.
Mata yang melihat ini anugerah Allah, tangan yang bergerak ini kepunyaan Allah, kaki yang berjalan ini milik Allah... apa yang sahabat rasa?
Pastinya timbul rasa kerendahan hati di hadapan Allah bukan? 
Dan tidak semena-mena perasaan resah gelisah yang tidak tahu puncanya itu hilang sedikit demi sedikit...

Pada waktu kita merasakan terlalu sedih, hina dan tidak berdaya, kita cuba menyebut Astaghfirullahal 'Adzim...

Mengenang kembali dosa-dosa yang terdahulu seterusnya memohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Adakalanya kita merasakan diri kita bebas dari dosa, seolah-olah sepanjang hidup kita tidak pernah melakukan dosa.

Apakah maksud perasaan itu?

Ia bermaksud kita sombong di hadapan Allah. Kita merasakan diri kita sudah terlepas dari azab seksa atas usaha kita sendiri; bukan atas belas ehsan dari Allah SWT.

Ingatkah sahabat pada kisah seorang ahli ibadah ketika dia ingin dimasukkan ke dalam syurga?

Dia bertanya kepada Allah : "Mengapakah aku dimasukkan ke syurga?"

Lantas Allah menjawab, "Kerana rahmat-Ku engkau masuk ke syurga"

Lelaki itu membalas,  "Tidak, aku mahu masuk ke syurga kerana ibadahku yang banyak." 

Lalu Allah lemparkannya ke neraka kerana kesombongannya di hadapan Allah.

Kadangkala kita berasa diri kita kosong, tanpa ada sebab yang kukuh.
Sehingga kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang kita telah lakukan sebentar tadi sehingga kita terasa sebegitu kosong.
Ini kerana kita belum temui lagi kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar.
Kita lupa apa tujuan kita hidup iaitu untuk beribadah kepada Allah.

Apa sahaja yang kita rasa samada bahagia atau sengsara, kuncinya adalah dengan kembali kepada Allah.
Akhirnya kita akan temui apa yang kita cari selama ini apabila hati kita diikat pada tali Allah.
Kita memerlukan Allah dalam hidup kita sedangkan Allah tidak memerlukan sesiapa...

Siapa kita tanpa Tuhan yang mencipta... di mana kita layaknya jika Allah tiada di hati?
Cuba renung-renungkan…!!

Monday, June 10, 2013

KISAH DUIT SYILING DAN BATU | KISAH PENGAJARAN Yang WAJIB BACA

biaqpila.blogspot.
queachmad.com
by Que Achmad 
Perkongsian tengahari oleh Abe. Kisahnya macam ni:
TINGG!
Wang syiling itu jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya. Dia menyambung semula kerjanya.
TINGG!
Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya. Lelaki itu menoleh ke kiri, kanan dan di sekelilingnya. Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.Tidak lama kemudian, lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama, dia mengambil dan menyimpannya. “Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati.
Lelaki itu tidak sedar, logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu. Sebenarnya, ketuanya mahu memanggilnya. Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.
Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan, cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah. Namun, jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut. Dek kerana itulah, ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas. Mudah-mudahan, dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.
Sayangnya, sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah, lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas. Lantas, ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai. Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.
Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu. Setelah merasa sakit dan terganggu, lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi. Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.
P/s : Sahabat sekalian, kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta. Tanpa sedar, Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki, rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita. Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya. Tetapi, kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.
Seperti kisah ketua dan pekerja tadi, apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian, lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yg berupa musibah, kegagalan, keperitan dan pengalaman yg menyakitkan. Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.