music

Thursday, August 11, 2011

Khasiat zaitun

Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera,

“Ðemi buah tiin dan buah zaitun, Ðemi Gunung Sinai dan negeri (Makkah) yang dijadikan aman...” (Surah at Tiin ayat 1 dan 2)

“..lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya..” (Surah an-Nur ayat 35)

Alhamdulillah, hari ini Laman-Seri berkesempatan kongsikan lagi satu kehebatan ciptaan Allah SWT iaitu buah zaitun atau lebih dikenali sebagai olive. Allah SWT telah menyebut di dalam al-Quran berkenaan dengan buah zaitun. Ini menunjukkan buah zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Ði dalam al-Quran, buah zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam al-Quran bersama dengan buah-buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun sepertimana buah-buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.


olea europaea
Buah zaitun atau nama botaninya olea europaea tergolong dalam keluarga Oleaceae. Pokok zaitun sendiri boleh dikatakan termasuk dalam tanaman purba dan banyak ditanam di kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia, Morocco, Asia Tengah dan beberapa bahagian Afrika. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah menyebut tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana Maudoodi, Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.
pokok zaitun tua

pokok zait
Pokok zaitun adalah tanaman tahunan yang dapat tumbuh walau di tanah gersang sekalipun. Ðikenali juga dengan nama Olive, pokok zaitun ini biasanya akan berbunga pada musim bunga dan buahnya boleh dipetik pada akhir musim gugur sehinggalah musim sejuk. Buah zaitun mentah berwarna hijau terang. Apabila matang, buahnya akan berubah menjadi warna ungu kehitaman.

Buah zaitun mentah, rasanya masam sedikit dan agak pahit. Selalunya buah zaitun akan di ekstrak patinya menjadi minyak zaitun. Jika dimakan pun, buah mentahnya akan direndam dengan larutan garam menjadi jeruk. Terdapat beberapa jenis buah zaitun yang boleh dimakan terutamanya selepas dikeringkan di bawah cahaya matahari.

Tumbuhan zaitun mempunyai ketinggian 3 meter, berdaun hijau terang dan berbuah ungu gelap. Menurut pengamal hadis, setelah taufan dizaman Nabi Noh A.S melanda, tumbuhan zaitun adalah yang pertama kelihatan.

Buah yang terbaik untuk dimakan adalah daripada Greece, “Kalamata olive” berwarna ungu gelap, berbentuk buah badam dan bersaiz ½” ke 1″. Ia dipek dan dipasarkan dalam minyak zaitun atau cuka. Buah-buah untuk tujuan ini akan dipetik atau digugurkan tetapi dibiarkan matang untuk penghasilan minyak. Buah zaitun digred mengikut tahun ia diambil dari pokok, jenis dan saiz.


buah zaitun di pokok
Ðunia moden pada hari ini, melalui kajian-kajian sains semasa mengiktiraf khasiat buah zaitun. Melalui kajian-kajian sains semasa, mengiktiraf khasiat buah zaitun terutamanya apabila telah dijadikan minyak. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Minyak zaitun merupakan sumber terbaik bagi lemak mono tidak tepu dan vitamin E. Bukan itu sahaja, minyak zaitun juga turut mengandungi fitonutrien polifenolik yang mempunyai aktiviti antioksidan.

Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi Muhamad SAW bersabda, "Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati." (Hadis riwayat at-Tirmidzi [Sunan at-Tirmidzi 7/44, Shahih] dan Ibn Majah)
bunga zaitun

bunga zaitun ~ closed up ~

Terdapat pelbagai jenis minyak zaitun iaitu Extra Virgin, Virgin dan Light. Minyak zaitun Extra Virgin merupakan minyak yang paling asli dengan kadar keasidan 0.5 hingga 1%. Warnanya kehijauan dan sesuai untuk campuran sos salad. Minyak zaitun Virgin pula mengandungi kandungan keasidan sekitar 4% dan berwarna kekuningan. Biasanya digunakan sebagai campuran masakan. Manakala minyak zaitun Light pula adalah minyak yang mengandungi kadar keasidan lebih daripada 4%. Berwarna kekuningan dan biasanya digunakan sebagai pengganti minyak goreng.

Buah zaitun kaya dengan vitamin E dikatakan mampu melindungi sel-sel dari radikal bebas yang berbahaya. Menurut kajian, antioksidan ini dikatakan mampu menguatkan sistem imun, mengurangkan penyakit seperti selesema. Asid oleik di dalam buah zaitun pula dikatakan mampu berfungsi memberi keanjalan pada kulit dan melindungi elastin kulit dari rosak.

Cegah darah beku


Sumber polifenois, sebatian antioksidan di dalam buah zaitun dikatakan mampu mencegah darah beku yang berbahaya. Satu kajian dalam Journal of American College of Cardiology mengaitkan sebatian ini dengan peningkatan nitrik oksida, molekul jantung sihat yang meningkatkan pelebaran pembuluh darah dan aliran darah.

Jika dibandingkan dengan diet tinggi dalam lemak tepu, diet tinggi karbohidrat, terdapat beberapa kajian yang telah menunjukkan bahawa minyak zaitun bukan sahaja mengurangkan tahap LDL kolesterol tetapi turut merendahkan tahap gula darah dan mengurangkan keperluan insulin bagi pesakit tahap dua diabetes.

Mengurangkan risiko kanser

Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar-pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Ðidapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur-sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut.

Ðalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar-pakar sains mendapati diet Mediterranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan asid oleik yang terdapat di dalamnya.

Meningkatkan metabolisme

Buah zaitun dikatakan mampu meningkatkan metabolisme. Malah dikatakan mengambil setengah cawan buah zaitun setiap hari mampu mencegah kegemukan. Khasiat lemak tidak tepu dalam buah zaitun mempercepatkan pembakaran lemak dan mencegah gula diubah menjadi lemak.

Selain itu, kajian dalam British Journal of Nutrition mendapati, asid lemak mono tidak tepu merangsang choolecystokinin, sejenis hormon menekan nafsu makan yang menghantar isyarat kenyang ke otak.

Melambatkan proses penuaan

Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walau bagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Ði samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.

Menghindari penyakit kardiovaskular dan arteriosclerosis

Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan ‘phenol'. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung.

Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau.

Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud, "Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta)."

Ramuan untuk kecantikan

Ði samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.

Ðengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba-hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam al-Quran, malah pakar-pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.

Ringkasan manfaat buah zaitun :
  • Membantu mengatasi masalah darah tinggi
  • Mengurangkan pengambilan lemak dalam diet harian
  • Merendahkan tahap kolestrol berbahaya
  • Menghindari penyakit kardiovaskular dan arteriosclerosis (pembuluh darah tersumbat dan sempit)
  • Mengurangkan risiko serangan kanser
  • Mengelakkan pembentukan batu hempedu (gallstone)
  • Membantu penghadaman dan mengurangkan ulser perut
  • Membantu keseimbangan metablisme tubuh, pertumbuhan tulang dan tubuh yang baik (khasnya bagi kanak-kanak)
  • Menyihatkan kulit dan rambut
  • Antioksidan - Membekal pelbagai vitamin untuk antipenuaan
  • Membekal vitamin E
  • Kegunaan massage terapi
Walaupun terdapat khasiat ubatan dalam buah zaitun, namun begitu pengambilannya perlulah mendapat nasihat pengamal terlebih dahulu bagi mengelakkan kemudaratan di kemudian hari.

Sumber : MW#1349, iKiM.gov dan En.Wikipedia ~ Olive.

No comments: